kita yang peka dengan isu semasa umat Islam pasti pernah dengar tentang peristiwa “Aidilfitri Berdarah”. satu tajuk peristiwa yang menggabungkan dua perkataan kontradiksi. perkataan pertama, “Aidilfitri” melambangkan kegembiraan, keceriaan, kemenangan, yang perlu diraikan dengan senyuman. perkataan kedua, “Berdarah” : simbolik kekejaman, kezaliman, pembunuhan, pengorbanan dan penganiaan. bagi yang tidak tahu, ada suatu peristiwa, 12 tahun yang lepas.
Ambon, sebuah daerah yang terletak di Kepulauan Maluku Indonesia. ia bukanlah satu tempat yang popular ataupun dikenali ramai masyarakat rantau Asia. walaubagaimanapun, sebagai umat Islam, sedikit sebanyak kita perlu peka dengan apa yang berlaku di sekeliling. tentang satu kejadian, kita perlu mengambil iktibar. tentang satu cerita, kita ada perlu jadi orang yang mendengar. tentang satu peristiwa, kita perlu melahirkan ikhtiar.
Aidilfitri 1999, aku baru menjangkau usia sembilan tahun, masih dalam darjah tiga di sekolah rendah. apalah sangat yang aku tahu tentang isu-isu negara luar, apatah lagi ketika itu aku sedang meriah menyambut hari raya Aidilfitri. pada waktu yang sama, 3500 km ke arah tenggara menyeberang Selat Makasar dan Perairan Maluku telah tercetusnya Perang Saudara antara Islam dan Kristian. Kota Ambon menumpahkan darah rakyat pada bulan kemenangan umat Islam. kekacauan, kemusnahan, hiruk pikuk, keganasan, serangan, dan pembunuhan merebak cepat dari satu kawasan ke satu kawasan. orang Kristian telah menyerang orang Islam dengan pelbagai cara. ada dibaling batu, tidak kira usia dan jantina. mereka dihalau dari penempatan mereka, rumah-rumah kemudian dimusnahkan dan dibakar. senjata api dan senjata tajam menjadi permainan di medan ini. jumlah kematian yang dicatatkan dari 15 julai 1999 hingga 5 ogos 1999 sahaja telah mengorbankan 1349 nyawa. perang agama. aku rasa tragis.
November 2011, sebagai wartawan aku telah ditugaskan untuk membuat liputan disana. setelah lebih sepuluh tahun selepas peristiwa Aidilfitri Berdarah, katanya Ambon itu telahpun aman. misi aku adalah untuk melihat kesan selepas perang. adakah peristiwa yang tercetus lebih satu dekad ini mempengaruhi cara pemikiran dan memberi implikasi ke atas cara hidup masyarakat disitu. aku tak tertarik untuk tahu kenapa tercetusnya rusuhan dan perang antara agama ini. kerana aku tahu ajaran kedua-dua agama, Islam dan Kristian tidak menggalakkan perang. yang pasti dapat aku simpulkan adalah peperangan ini diterajui oleh satu unsur. fanatik.
aku bukan nak merendah-rendahkan orang lain, tapi agar semua tahu untuk dijadikan iktibar, bahawa implikasi fanatik ini adalah besar. fanatik ibarat satu kesungguhan melampaui batas serta menghasilkan satu anjakan. ia adalah sifat keterlaluan, melebih-lebih dan berisiko memberi impak negatif kepada masyarakat. kita sendiri boleh lihat, ada sesetengah orang fanatik tak tentu pasal. menjerit, bersorak, tanpa tahu hujung pangkal sesuatu isu. mereka fanatik tanpa hala tuju yang betul. seolah memperjuangkan sesuatu yang mereka tidak tahu.
rakyat Indonesia memang terkenal dengan sifat keterlaluan atau over-acting. inilah yang terjadi di Ambon. penganut Kristian dan Islam yang fanatik dengan agama masing-masing mengakibatkan pertembungan besar yang memusnahkan hubungan akrab masyarakatnya pada ketika dulu. akibat tiada pihak yang ingin bertolak ansur, impak buruknya kekal hingga ke hari ini. masih lagi kepulauan itu bergolak dalam kancah perpecahan dan diskriminasi. puratanya setiap 4 bulan membabitkan satu serangan. serangan terbaru yang kami dapat cover adalah pada 11 November 2011, perkampungan orang Islam telah diserang dari pelbagai arah. hampir 200 buah rumah dimusnah dan dibakar. dapat aku saksikan sendiri tinggalan blok-blok rumah yang musnah itu dan sempat menemubual bekas penduduk di situ.
apabila aku meminta pandangan penduduk disini, adakah Ambon akan aman? mereka hanya menjawab,”kalau aman itu, disini maknanya tidak aman, mas! 100% tidak aman!”. dari situ aku dapat agak sendiri mereka ini dibesarkan dalam suasana kucar-kacir dan tidak pernah tahu erti sebenar keamanan. pemikiran cetek juga menjadi faktor kelewatan mereka untuk mencapai keamanan. taraf pendidikan yang diberikan di situ tidak mampu melahirkan rakyat yang boleh berfikir secara kreatif bagi menyelesaikan satu masalah. sekali lagi, mereka dibesarkan dalam suasana tegang. bagi mereka pembunuhan itu cara menyelesai masalah. mereka terlepas pandang, ada dendam selepas itu.
alhamdulillah, aku selamat sampai di Malaysia. walaupun kedengaran dua, tiga das tembakan senjata api sepanjang aku di kepulauan itu, aku masih diberi peluang menghirup aman Malaysia.



Alhamdulillah.