selamat sejahtera ke atas kamu semua! siapa yang terbaca ruangan ini, pertama yang kamu perlu tahu ialah aku akan menulis umum tentang politik, tanpa menyentuh mana-mana parti politik. ini bertujuan mengelakkan mana-mana pihak ‘tersentap’. orang kata playsafe kan? sebelum berkongsi cerita, suka untuk aku memberitahu bahawa aku bukanlah jenis yang suka membaca ruangan politik. apatah lagi yang bercanggah dengan pandangan aku, lari dari falsafah aku atau terpesong daripada sudut aku menilai sesuatu perkara. mereka yang rapat dengan aku pun sedia maklum bahawa aku memang akan berpegang dengan pendapat aku.
aku bukan degil, aku bukan keras kepala. tapi bila aku menolak satu perkara itu adalah atas sebab yang relevan dan berbaloi untuk diri aku juga masa depan aku. lagipun kalau nak dengar cakap orang secara lisan mahupun membaca sebentuk penulisan, tahap kesahihan dan kebenaran tentang apa yang diperkatakan itu pun banyak daripada sumber yang meragukan. jadi, memang tak perlulah aku nak menadah telinga mendengar hujah-hujah mereka, membuang masa membaca nukilan mereka. kalau aku dipaksa untuk mendengar, memang aku buat muka je lah kan. haha. to avoid any heart feeling about political views, please stop reading this post.
senang kata, memang jarang untuk aku nak cari sendiri laman-laman web politik, blog dan berita mengenai politik kerana apabila aku mengaplikasikan cara hidup aku, politik tu bukanlah satu keperluan. cuma satu rangkaian kehendak. hinggalah satu hari, ketika aku melayari laman web sosial facebook, tanpa disengajakan aku telah memasuki satu page yang menggunakan profile namenya Demokrasi vs Revolusi. tengok je page ni semua sedia maklum bahawa page ini berunsurkan politik. mengikut kebiasaan, kalau aku termasuk page-page macam ni dengan segera aku akan klik ke page lain. tapi takpe, kali ini aku cuba untuk membaca serba sedikit perbincangan page itu kerana tertarik dengan penglibatan orang muda yang aktif melemparkan komen. bahagian atas sekali terdapat satu keterangan/description yang berbunyi : anda dinasihatkan berhujah dgn menggunakan akal fikiran serta pengalaman anda selama mana hidup di atas muka bumi ini..ingat!! Allah SWT Maha Mengetahui.
wah, baguslah keterangan macam ni. sebab ia akan sentiasa mengingatkan kita setiap kali kita hendak menyusun kata-kata di page ini. maknanya ketika berhujah dan berbincang, pastinya penggunaan akal diutamakan. tapi malang, memang sangat malang. terlampau malang diantara yang paling malang sebab tak sampai pun sepuluh komen yang aku telaah, aku dapat rasa kebanyakan daripada komen mereka seperti mereka ni tidak menggunakan akal! benda-benda yang dicakap tak masuk akal tu satu hal la. tambah pula dengan bahasa yang mereka praktikkan ni. bukan main kasar lagi. tiada adab ke orang Islam? tiada akhlak ke masyarakat Muslim?
kita duduk Malaysia rasanya tahu budi bahasa tu apa betul kan? pujian patut diberikan apabila kita berbudi dengan orang. begitu juga jika kita berbahasa dengan orang. tapi dalam page ni lain macamlah. dah la tak berbudi dengan orang, bahasa yang dituturkan pula ‘sempurna’ dengan carutan dan cercaan. nampak sangatlah mereka telah menggunakan kebebasan bersuara itu sebebas-bebasnya. sehinggakan yang dalam kain ayahanda dan ibunda mereka pun bebas disebut. jika tak suka nak jadi rakyat Malaysia pun, wajib diingat bahawa kita manusia yang dicipta lengkap dengan akal. akal inikan pertimbangan dalam diri. melihatkan suasana dan atmosfera page ini seperti majoritinya hilang pertimbangan. aku cuma terfikir, adakah golongan seperti mereka ini berfikir? yang pasti, mereka tidak berfikir seperti aku berfikir. mereka lebih suka berfikir bagaimana parti politik mereka boleh mengembangkan pengaruh.
ha, ini menarik. khabarnya, mereka ini pejuang bangsa yang mahu menegakkan keadilan! katanya mereka ini golongan yang hendak membela rakyat! mereka menegaskan merekalah yang betul dengan hujah masing-masing! padahal ia cuma kata sahaja, belum tentu ada makna. mereka bukan siapa-siapa. hanya orang pengecut. umpama dalam dewan, mereka ni adalah golongan yang duduk barisan paling belakang tapi suara sampai ke depan. menyampuk, merungut, semua benda tak pernah puas. bila orang suruh tampil tunjuk muka, tak berani mengaku, bersembunyi di balik keramaian. tiada apa yang dibuktikan melainkan terpekik terlolong melontarkan kata orang sini salah! orang sana tak adil!
antonim kepada sifat adil adalah zalim. zalim ialah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya/melakukan perkara yang tak patut dilakukan. adil dan zalim bukan hanya ditujukan kepada pemimpin sahaja, tapi juga kepada rakyat. rakyat yang meruntuhkan perpaduan itulah yang zalim. rakyat yang hidup secara berpuak-puak adalah zalim. rakyat yang meleraikan ukhwah Islamiah itulah zalim. parti politik haluan kiri ke kanan ke, haluan depan ke haluan belakang ke, sama je macam sudah tidak ada haluan bila tengok masing-masing berkelahi sesama sendiri. saling memburukkan, berlumba-lumba siapa dulu yang dapat jatuhkan maruah musuhnya. siapa yang paling banyak dimalukan adalah kalah. beginikah konsep perbincangan yang paling matang? bukannya mahu berkongsi cara untuk menyelesaikankan sesuatu dengan baik. tapi aku yang lihat ni seolah-olah akan memberi kesan permusuhan sesama rakyat. perpecahan bangsa. kata nak bina negara, tapi memecahkan rakyat. apa benda? aku hanya tersenyum tatkala tidak sampai hati untuk mengatakan ‘pejuang-pejuang’ ini bodoh, kerana aku juga hamba-Nya. sama-sama peroleh akal kurniaan Tuhan. tapi tak sama-sama menggunakannya.
aku dapat andaikan 70% dalam page semua orang nak bertekak dengan pegangan masing-masing. kutuk orang sana, kata orang sini. maki orang sana, kecam orang sini. burukkan orang sana, fitnah orang sini. dosa masing-masing terkumpul malah masih berbangga dengan gelak tawanya. masih ‘haha’. masih ‘hihi’. masih gembira. masih suka. sedangkan Pencipta mereka mungkin sedang murka. kau kutuk dia, dia kutuk kau. kelak sama-sama masuk neraka jangan tak bertegur pulak. demokrasi atau revolusi? tiada solusi. hanya menambahkan permusuhan, meningkatkan perkauman.
aku tak fikir page-page sebegini direka untuk berkongsi idea bagi membincangkan sebuah isu. minda aku kuat mengatakan page seperti ini tersirat motif untuk melaga-lagakan masyarakat. bagi yang tidak berfikir akan senang terpengaruh kerana hanya ikut orang, dalam hati berkata “betul cakap si Jo ni, dia ni banyak ilmu pengetahuannya, kena percaya cakap dia. kena ikut apa dia buat”. bagi yang berfikir menganggap ini adalah satu tempat yang bagus untuk berdebat. tetapi bagi seorang pemikir yang baik, page ini terdedah dengan fitnah dan aib umat Islam lain, perlu segera menjauhinya. untuk aku, cukuplah dosa yang telah aku lakukan di dunia ini. tak perlu ditambah dengan dosa-dosa lain. apabila dosa yang dilakukan terhadap insan lain, perlulah meminta maaf dengan mereka. jadi, saya bagi contoh ; jika orang yang kamu burukkan itu adalah Perdana Menteri? dapat ke bersua untuk memohon maaf?
golongan ‘pejuang kecut’ ini rasa merekalah yang akan memartabatkan Islam. tapi bahasa yang digunakan seperti tiada dasar Islam dalam diri. memanglah dosa itu tak nampak dari segi zahir. manalah nak nampak dengan mata. tapi dosa tu tetap tercatit di bahu kiri setiap kali seseorang itu melanggar perintah Allah. individu yang menulis komen tu mungkin memfitnah orang yang disebut itu. tapi nampak kurang bijak apabila yang tidak tahu-menahu pun tumpang sekaki berlagak macam tahu sebab tidak mahu dilihat bodoh.
apa yang dikhabarkan bukan hadith untuk dipegang dan disampaikan kepada semua. sedangkan hadith sahih pun ada sanad dan matan untuk menentukan percakapan Rasulullah itu tidak tercemar dengan tokok tambah. ni kan pula yang cerita mengenai pemimpin kontroversilah, pemimpin gay boy lah. tak pasti pun betul ke tidak. bukti tiada, saksi tiada. tiba-tiba cerita tak baik muncul. cuma cerita dari yang didengar dari mulut. cuma coretan daripada jari yang merintis papan kekunci. benar atau tidak keburukan seorang insan itu, tidak patut dihebahkan. samalah pun dengan dosa mengumpat. kita yang baca komen pun dapat dosa.
maka aku tetap lagi menyaksikan mereka mencerca sesama sendiri. aku tiada nafsu untuk berpihak kepada siapa-siapa. mereka salah anggap. mereka rasa mereka memperjuangkan kebenaran, tapi kebenaran yang aku nampak ialah kemusnahan akhlak ‘pejuang sesat’. geli hati apabila ada manusia yang taksub. mereka tak bodoh, tapi terlalu pandai untuk bergaduh. mereka anggap saingan mereka bodoh, kerana mereka besar angkuh. mereka anggap diri sendiri pandai, sehingga lupa sahabat handai. sikap yang terlalu memberontak kelak memusnahkan. kalau memusnahkan diri mereka sendiri, langsung aku tak risau. tapi sifat agresif negatif ini mampu merosakkan tamadun. memberontak dengan cara negatif bertujuan memenangi satu kuasa. tapi musykil betul sebab mereka tidak nampak sifat golongan yang dihampiri ini. pengaruh politik mereka akan membuatkan satu hubungan berpecah belah.
bangga? kerana dapat menyebarkan keaiban sainganmu dan bertukar-tukar ceritera hina dengan kawan-kawanmu? tak segan silu pula jadikan bahan aib sebagai gelak tawa harianmu? orang Islam diajak melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. tapi ‘pejuang songsang’ mengajak mendengar keburukan dan membuka kemungkaran. aku hina cara kamu berjuang. mungkin sebab itulah kamu tak pernah dipandang.
MSH : ramai yang tidak bersyukur dalam hidup ini. mungkin sebab itu mereka tidak tenang.






LIKE.